Hospital Mesra Ibadah

  • Hospital Mesra Ibadah (HMI) bertujuan mempertingkatkan kefahaman dan penglibatan warga kerja hospital dalam membimbing pesakit dan waris melaksanakan ibadah semasa menerima rawatan di hospital. Konsep program telah diperkembangkan kepada perkhidmatan jagaan spiritual yang diperlukan pesakit dan waris di mana latihan-latihan dan praktikal diberikan kepada pegawai perubatan, paramedik dan jururawat untuk membantu pesakit. Melalui program ini juga, kakitangan hospital dapat memfokuskan kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan dan penghayatan ibadah semasa dan selepas mendapat rawatan. Hospital Tumpat telah memulakan program HMI bermula Disember 2022.
  • Hospital Mesra Ibadah Hospital Tumpat menekankan konsep sakit bukan alasan dan halangan di dalam membuat kerja-kerja bersangkutan dengan ibadah terutamanya dalam melaksanakan ibadah solat. Malahan semasa sakit pesakit perlu lebih bertawakal, mengingati dan berdoa kepadaNya.
  • Polisi ini bertujuan untuk mempromosi amalan terbaik dalam melaksanakan Program HMI selaras dengan aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  1. MISI
    Mewujudkan hospital yang bukan saja merawat pesakit dari segi fizikal bahkan menekankan penghayatan rohaniah serta mendekatkan anggota perawat dan pesakit kepada penciptaNya.
  2. VISI
    Menjadikan esok lebih baik dari hari ini.
  3. MATLAMAT
    • Merawat dan pada masa yang sama mentarbiah pesakit dengan tidak menjadikan sakit sebagai halangan unutk beribadah
    • Menghasilkan Pegawai Pelaksana Mesra Ibadah (PPMI) yang kompeten dan mesra untuk membimbing para pesakit dan waris untuk melaksanakan ibadah berlandaskan fiqh ibadah yang betul.
    • Menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat berkaitan isu fiqh perubatan dan kaunseling Syari’e melalui pegawai agama yang telah dilantik.
    • Menganjurkan latihan secara berkala seperti yang disarankan oleh modul HMI kepada kakitangan hospital mengikut keperluan bidang tugas masing-masing.
    • Menyediakan persekitaran mesra ibadah meliputi kakitangan kesihatan, pesakit dan waris supaya penerapan amalan mesra ibadah di hospital dapat dihayati dan difahami.
  4. OBJEKTIF
    • Memastikan pesakit muslim dan waris menerima bimbingan yang betul dalam melaksanakan ibadah serta amalan keagamaan semasa sakit; dan
    • Memastikan kakitangan hospital mendapat latihan dan pendedahan asas mengenai fiqh ibadah serta nilai-nilai Islam dalam menjalankan tugas.


PELAKSANAAN HOSPITAL MESRA IBADAH

Standard perlaksanaan Program HMI mempunyai kriteria umum untuk penilaian tertentu bagi memastikan pengamalan konsep tersebut bertepatan serta menyeluruh. Standard yang diamalkan di Hospital Tumpat mengandungi kriteria–kriteria seperti berikut:-

  1. Bacaan doa pagi, doa kepada pesakit dan doa kepada semua anggota sebelum memulakan tugas.
  2. Pengumuman masuk waktu solat melalui siaraya
  3. Bacaan ayat suci Al-Quran sebelum masuk waktu solat
  4. Memberi bimbingan dan khidmat nasihat kerohanian dan bantuan praktikal kepada pesakit serta waris berkaitan tatacara pengambilan wudhu’ , tayammum dan solat ketika sakit
  5. Menyediakan tanda arah kiblat di setiap wad/ unit
  6. Menyediakan ruang solat di setiap wad/unit.
  7. Menyediakan kit ibadah solat di setiap wad/unit
  8. Mengadakan program tadarus Al-Quran semasa bulan Ramadhan
  9. Tazkirah bulanan kepada kakitangan dengan kerjasama Pejabat Agama Jajahan Tumpat
  10. Penubuhan Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah.


POLISI – POLISI YANG BERKAITAN

  1. Polisi Amalan
    • Hospital Tumpat melaksanakan Program Hospital Mesra lbadah (HMI) berdasarkan Manual HMI yang telah disediakan oleh pihak KKM.
    • Pesakit yang dimasukkan ke hospital hendaklah diberikan orientasi HMI.
    • Pelaksanaan HMI hendaklah selari dengan Polisi Hak Pesakit dan Keluarga Hospital Tumpat yang menjaga dan mengawal hak dan tanggungjawab pesakit dan keluarga sepanjang rawatan, penjagaan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan oleh pihak Hospital Tumpat.
  2. Polisi Tempat Amalan
    • Hospital Tumpat hendaklah mempunyai ruang untuk beribadah (minima) dan infrastruktur yang sesuai dengan HMI.
    • Tiada perlambangan, patung ataupun bau-bauan diletakkan di mana-mana bahagian di dalam wad, ruang ibadah dan lain-lain kawasan di fasiliti KKM bagi menjaga sensitiviti penganut agama-agama lain.
    • Tempat penyimpanan mayat orang lslam dan orang bukan lslam hendaklah diasingkan.
    • Tempat mandi jenazah orang lslam hendaklah diasingkan daripada jenazah orang bukan lslam.
  3. Polisi Sumber Manusia
    Perkhidmatan Hospital Tumpat tidak mempunyai Pegawai Hal Ehwal Islam yang ditempatkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), walaubagaimanapun, dengan program hospital kluster; Pegawai Hal Ehwal Islam Hospital Raja Perempuan Zainab II membantu aktiviti HMI di Hospital Tumpat.
  4. Polisi Kerjasama
    Jawatankuasa HMI boleh menjalinkan kerjasama berterusan dan bersesuaian dengan individu sukarelawan agama ataupun pertubuhan bukan kerajaan yang sah di peringkat komuniti termasuklah dalam aspek latihan. Perkhidmatan sukarelawan agama tertakluk kepada Garis Panduan Khidmat Sukarela Di Hospital hospital KKM 2016. Jawatankuasa HMI Hospital Tumpat bekerjasama dengan:
    • Jawatankuasa Surau Kg.Kelaburan
    • Pejabat Agama Jajahan Tumpat
    • Majlis Agama Islam Negeri Kelantan
    • Jabatan Agama Islam Negeri Kelantan
    • Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem)