Hospital Tumpat merupakan hospital daerah tanpa pakar. Bermula tahun 2017, inisiatif hospital kluster telah dilaksanakan di negeri Kelantan. Konsep Hospital Kluster melibatkan gabungan sekurang-kurangnya satu hospital berpakar dengan hospital tanpa pakar di dalam kawasan geografi yang sama membentuk satu entiti. Gabungan Hospital Kluster Kelantan Utara diketuai oleh Hospital Raja Perempuan Zainab II, diikuti oleh 3 hospital daerah tanpa pakar yang lain iaitu Hospital Tumpat, Hospital Pasir Mas dan Hospital Tengku Anis. Melalui pelaksanaan hospital kluster ini, sumber di antara hospital misalnya sumber manusia, peralatan, fasiliti dan lain-lain dapat digunakan secara optimum.
Setelah 3 tahun hospital kluster ini dilaksanakan dan telah banyak penambahbaikan serta pertambahan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan di Hospital Tumpat. Antaranya:
-
- Pesakit mendapat rawatan setaraf hospital berpakar memandangkan Pakar Perubatan dan Pakar Perubatan Kecemasan dari HRPZII ditempatkan setiap hari di Unit Pesakit Dalam dan Unit Kecemasan & Trauma. Selain itu, lawatan Pakar Pediatrik, Pakar Obstetrik & Ginekologi dan Pakar Pembedahan dibuat secara berkala.
- Pertambahan perkhidmatan di Klinik Pakar. Buat masa sekarang, terdapat 10 perkhidmatan klinik pakar yang ditawarkan di Hospital Tumpat iaitu:
i) Klinik Perubatan
ii) Klinik Respiratori (Dada)
iii) Klinik Penyakit Berjangkit
iv) Klinik Pediatrik
v) Klinik Obstetrik & Ginekologi
vi) Klinik Dermatologi (kulit)
vii) Klinik Ortopedik
viii) Klinik Oftalmologi
ix) Klinik Pembedahan
x) Klinik EPAS (Early Pregnancy Assesment Service) - Pembedahan juga dilakukan di Hospital Tumpat. Antaranya kes – kes pembedahan ortopedik seperti; removal of implant, plating, excision biopsy, kes – kes pembedahan am seperti; pembedahan plastik bagi kes pesakit buah pinggang kronik.
- Day Care – Thalasemia dan Pembedahan
Keistimewaan Hospital Tumpat ialah merupakan hospital yang merawat penyakit berjangkit seperti HIV, TB, Hepatitis, denggi, leptospirosis dan lain-lain. Mempunyai wad infeksi yang dilengkapi dengan 4 bilik negatif pressure dan 6 bilik isolasi. Pesakit-pesakit ini akan dirawat oleh Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit yang datang setiap hari. Pesakit HRPZII juga dirujuk ke sini bagi tujuan untuk sambungan ubat-ubatan.
Tahun 2020 dunia telah dikejutkan dengan pandemik coronavirus yang mengakibatkan ribuan manusia meninggal. Negara kita juga telah terkesan dengan pandemik ini dan telah mempunyai pesakit yang dijangkiti oleh coronavirus. Sehubungan dengan itu, pada Mac 2020 Hospital Tumpat telah diisytiharkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai salah satu hospital Covid-19 di Negeri Kelantan bagi tujuan merawat pesakit-pesakit covid-19.